Saturday, 30 September 2017

Rapuhnya Hati Ini

Terkadang melalui kesedihan yang sukar benar untuk diungkapkan, waima kepada insan yang boleh dikira rapat didunia ini. Sungguh, tiada yang lebih baik selain mengungkap keluh resah kepada Allah. Sesungguhnya, hanya Allah saja yang Maha Memahami.

Kembara ini terlalu penat, terlalu sesak, menjadikan rapuhnya hati ini terlalu kuat. Cuba menyelongkar ke segenap rasa, mencari diri yang telah hancur, sering benar tidak ditemui lagi. Dan, Allah, hanya itu ada di pinggir bibir. Dalam lengkingan suara yang telah meledak, baru diingat Allah yang Maha Esa. Sungguhlah, apabila mengingati Allah, hati akan menjadi lebih tenteram. Lalu, biarkanlah dunia. Kerana, di dalam dunia penuh kepalsuan ini, siapa yang dapat memahami diri ini. Sesungguhnya, hanya Allah saja yang dapat memahami diri ini, dan Allah saja pengubat kelelahan dan kesakitan di kembara ini.

Jika semakin sukar, jadikanlah aku semakin tabah, Ya Allah. Lelah sungguh di kehidupan ini. Semoga ada redhaMu, semoga ada rahmatMu, dan semoga ada syurgaMu untukku, hambaMu yang hina dan lemah di kembara ini. Aku sungguh lelah, hingga serasa mahu 'berhenti', tidak mahu meneruskan kembara yang penuh kelesuan ini.

Pun, aku tahu, Allah masih ada. Dan, kekuatan ini, hanya Allah yang Maha Memberi.

Friday, 18 November 2016

Bila Kita Tewas

Hampir kalah?
Putus asa dalam berjuang?
Rasa lelah?

Itulah 'manis'nya.

Siapa yang berkata berjuang itu manis? Manisnya biasanya hanya di penghujung, dan laluan menuju penghujung itu terlalu sukar. Kita perlu kuat, fizikal, mental dan jiwa. Semangat yang tidak boleh mengalah. Bila tewas, bangkitlah semula. Walau tewas berulang kali, tetaplah terus untuk bangkit juga berulangkali. Jangan 'leka' dengan kekalahan, kerana kekalahan itulah yang menjadikan jiwa semakin lemah. Bi;a jiwa sudah semakin lemah, untuk menguatkannya semula bukanlah suatu cara yang mudah.

Jadi, jangan benarkan jiwa kita tewas.

Yakinlah kepada Allah.

InsyaAllah.

Monday, 10 October 2016

Permulaan Sebuah Perjuangan

Assalamualaikum warahmatullah...

Lama sudah ingin menulis. Menghumban rasa. Blog ini bukan hanya blog saja-saja. Suatu blog penuh rasa, kembara musafir ini yang sudah semakin tiba di penghujungnya. Suatu blog penuh luahan keinginan, untuk mendapat husnul khatimah dari Allah. Suatu blog perjuangan, yang semoga di penghujungnya menghirup kemanisan anugerah Allah. ia, suatu blog yang diterjemahkan...kerana saya ingin menulis di lapangan hidup. Ia hanya tentang rasa, ia hanya tentang perjuangan, ia hanya tentang kembara di bumi ini, dan sudah pastinya blog tentang seorang musafir, pun...ia blog untuk merafak rindu kepada Allah.

Sebuah blog keluh kesah, yang di dalamnya air mata dan tangisan sedih dan rindu. Sebuah blog kasih sayang, yang di dalamnya ada tenang dan rehat. Sebuah blog musafir, yang di dalamnya ada perjuangan, dan ada perhentian.

Di kala perhentian sudah bertamu, maka bermulalah kembara musafir di alam yang lain.