Terkadang melalui kesedihan yang sukar benar untuk diungkapkan, waima kepada insan yang boleh dikira rapat didunia ini. Sungguh, tiada yang lebih baik selain mengungkap keluh resah kepada Allah. Sesungguhnya, hanya Allah saja yang Maha Memahami.
Kembara ini terlalu penat, terlalu sesak, menjadikan rapuhnya hati ini terlalu kuat. Cuba menyelongkar ke segenap rasa, mencari diri yang telah hancur, sering benar tidak ditemui lagi. Dan, Allah, hanya itu ada di pinggir bibir. Dalam lengkingan suara yang telah meledak, baru diingat Allah yang Maha Esa. Sungguhlah, apabila mengingati Allah, hati akan menjadi lebih tenteram. Lalu, biarkanlah dunia. Kerana, di dalam dunia penuh kepalsuan ini, siapa yang dapat memahami diri ini. Sesungguhnya, hanya Allah saja yang dapat memahami diri ini, dan Allah saja pengubat kelelahan dan kesakitan di kembara ini.
Jika semakin sukar, jadikanlah aku semakin tabah, Ya Allah. Lelah sungguh di kehidupan ini. Semoga ada redhaMu, semoga ada rahmatMu, dan semoga ada syurgaMu untukku, hambaMu yang hina dan lemah di kembara ini. Aku sungguh lelah, hingga serasa mahu 'berhenti', tidak mahu meneruskan kembara yang penuh kelesuan ini.
Pun, aku tahu, Allah masih ada. Dan, kekuatan ini, hanya Allah yang Maha Memberi.